============================================================
Pengenalan
Seperti yang kita sedia maklum, amalan perubatan tradisional telah lama diamalkan sejak zaman berzaman lagi. Begitu banyak teknik dan kaedah yang digunakan oleh pengamal perubatan tradisional ini terutamanya amalan jampi.
Amalan Jampi dalam perubatan
Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud:
“Dari ‘Auf Ibn Malik, katanya: Dahulu kamu melakukan jampi di zaman jahiliah, lalu kami bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapat tuan dalam hal ini? Beliau bersabda: Perlihatkanlah kepadaku jampi-jampimu itu. Tidak mengapa melakukan jampi-jampi itu selama tidak mengandungi hal-hal syirik.” (Hadith Riwayat Muslim)
Menurut Dr. Yusuf al-Qardawi di dalam Kitab Fatawa al-Mu’asirah, suatu jampi itu harus dilakukan berdasarkan kepada tiga (3) syarat:
- Ia mesti disasarkan kepada Allah S.W.T dan nama-namaNya.
- Ia mestilah dituturkan dalam bahasa Arab dan kata yang boleh difahami maknanya.
- Beriktikad bahawa ianya tidak memberi kesan dengan sendirinya, tetapi dengan takdir Allah S.W.T.
Antara ciri jampi yang diharamkan adalah seperti berikut
- Jampi yang mengandungi unsur syirik, pemujaan jin, syaitan, menggunakan ilmu hitam atau sihir.
- Menggunakan bahasa yang tidak difahami atau bercampur aduk seperti memulakan jampi dengan “Bismillah atau Alhamdulillah” kemudian diselangi dengan nama-nama hantu atau jin seterusnya disudahi dengan ucapan “Berkat kata Lailahaillallah Muhammadar Rasullulah” atau seumpanya.
- Menggunakan azimat atau tangkal sebagai pelindung
“Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)”.
Contoh amalan perubatan tradisional yang tidak mengikut syariat Islam
- Pengamal menggunakan pertolongan jin (termasuk jin Islam) dalam rawatan perubatan.
- Pengamal menggunakan sihir, ilmu hitam, silap mata, tukang nujum atau ramalan tapak tangan.
- Pengamal mengaitkan suatu pengeras dengan suatu akibat.
- Pengamal melakukan perkara syirik seperti sembelih binatang, sembah pantai, buang ancak dan lain-lain.
- Pengamal menggunakan bacaan jampi yang tidak difahami.
- Penggunakan menggunakan tangkal dan azimat yang berupa rajah atau bercampuraduk dengan ayat Al-Quran.
- Pengamal membaca ayat Al-Quran secara terbalik.
- Pengamal memberikan syarat yang bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam. (contoh: pesakit wanita perlu bersendirian dengan pengamal)
- Pengamal mengaitkan amalan perubatannya bersumberkan daripada Rasulullah dan Al-Quran tetapi tidak boleh membuktikannya.
Pembedahan Batin…Adakah Haram atau dibenarkan dalam Islam?
Kebiasaanya dilakukan oleh individu yang menggelarkan dirinya ustaz, atau berpakaian seperti guru agama, kelihatan warak serta menggunakan gelaran tertentu.
Apa kata mereka?
- Mereka meyakinkan anda bahawa rawatan pembedahan batin ini berupaya menggantikan pembedahan moden bagi penyakit kornik seperti masalah jantung, barah otak, barah hati dan lain-lain penyakit.
- Mereka meyakinkan orang ramai bahawa kaedah pembedahan ini tidak menyakitkan walaupun tiada ubat bius digunakan.
- Tempoh masa untuk sembuh adalah singkat.
- Mereka di beri mukjizat untuk menjalankan pembedahan batin, atau mereka tergolong dalam golongan orang yang menerima keistemewaan (karamah, maunah atau kasyaf).
- Tiada bukti dalam Al-Quran dan Hadis bahawa amalan pembedahan batin ini mengikut syariat Islam.
- Amalan ini HARAM dilakukan kerana pengamal mungkin menggunakan ilmu hitam, silap mata, perantaraan jin atau syaitan atau sihir semasa merawat.
- Pengguna ditipu dengan janji manis keberkesanan rawatan ini di samping bayaran yang tidak munasabah.
- Mukjizat adalah suatu perkara yang luar biasa yang dikurniakan oleh Allah untuk para nabi dan rasulNya, yang bersifat hakiki dan betul-betul terjadi pada waktu yang tertentu,ia yang mesti ditunjukkan kepada umatnya sebagai bukti kenabian dan kerasulan mereka
- Karamah ialah suatu perkara luar biasa yang dikurniakan oleh Allah kepada orang yang soleh yang dikasihi Allah, yang bersifat hakiki dan betul-betul terjadi pada waktu tertentu secara mendadak semasa hidupnya, tetapi tidak boleh diprogramkan dan dipertontonkan kepada orang lain dan ianya khusus sebagai tanda kemuliaan yang diberikan kepada golongan yang taat kepadaNya.
- Maunah ialah suatu perkara luar biasa yang berupa pertolongan yang dikurniakan oleh Allah kepada orang-orang tertentu, yang bersifat hakiki dan betul-betul terjadi pada waktu itu dengan tujuan untuk menambahkan lagi keyakinannya kepada Allah dan tidak wajar diperhebahkan.
- Kasyaf ialah penyingkapan rahsia-rahsia alam ghaib melalui pandangan mata hati. Ia termasuk karamah yang mencarik adat yang dikurniakan kepada wali Allah SWT dan mestilah tidak bercanggah dengan kaedah agama dan hukum syarak yang telah disepakati.
Memang satu kewajipan untuk kita terus berusaha mencari penawar bagi setiap penyakit yang dihadapi. Seperti terkandung dalam hadis:
“Tidak ada penyakit yang Allah turunkan itu melainkan ada ubatnya…”
Tetapi berwaspadalah kita, dengan setiap cara untuk kita berubat atau berikhtiar, perkara HARAM tetap menjadi HARAM dan alasan tidak akan menghalalkan cara.
Rujukan
- http://islam.gov.my/e-rujukan/khurafat.htm
- http://www.e-fatwa.gov.my
- Jabatan Kemajuan Islam Kebangsaan (JAKIM)
- Kementerian Kesihatan Malaysia
Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari
Kementerian Kesihatan Malaysia
Blok E, Jalan Cenderasari,
50590 Kuala Lumpur. No.
Tel: 03-2698 5077
No. Faks: 03-2691 1259
Emel: tcm@moh.gov.my Laman Sesawang:
http://tcm.moh.gov.my Blog: http://tcm.moh.gov.my/blog
Semakan Akhir : 21 Julai 2011 Penulis : Mohd.Hadi Mohd.Zin
No comments:
Post a Comment